TAK ramai tahu yang baru-baru ini sebuah syarikat dari Malaysia, Serba Dinamik Holdings Bhd memperoleh kontrak bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan hab inovasi merangkumi pembangunan pejabat, restoran, pusat pameran dan pusat IT di Abu Dhabi dengan nilai mencecah RM7.71 bilion!

Serba Dinamik juga baru-baru ini berjaya dalam usaha mereka untuk mendapatkan kontrak operasi dan penyelenggaraan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik International Ltd (SDIL) di Oman dengan anggaran nilai kontrak kira-kira RM320.89 juta.

Untuk pengetahuan korang, pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020, keuntungan bersih Serba Dinamik meningkat kepada RM147.88 juta pada hingga menyaksikan perolehan syarikat itu naik kepada RM1.44 bilion berbanding RM1.14 bilion pada tahun lepas, luar biasa!

Tetapi tahukah korang siapakah insan di sebalik syarikat yang terkenal dalam industri minyak dan gas itu?

Namanya adalah Mohd. Abdul Karim Abdullah, seorang jurutera lulusan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berasal dari Sarawak. Beliau bukanlah anak orang kaya atau dari berasal dari keluarga terkenal dari bumi kenyalang itu. Bukan juga proksi siapa-siapa.

Untuk rekod, beliau adalah anak seorang petani miskin yang menjadikan penanaman tembikai sebagai punca pendapatan keluarga. Setelah mendapat ijazah yang diidamkannya, Karim yang asalnya seorang jurutera mekanikal dengan syarikat Asian Bintulu Fertilizer, mengambil keputusan untuk terjun dalam dunia perniagaan dengan membuka sebuah syarikat yang dinamakan Serba Dinamik pada tahun 1993.

Bermula dengan ‘humble beginning’, Abd. Karim berjaya menjadi vendor kepada Petronas pada tahun 1997. Empat tahun kemudian, Abd. Karim berjaya buat pertama kalinya mendapat kontrak di luar negara iaitu dengan membuat kerja-kerja penyelenggaran dan pembaikan di Qatar. Pada tahun 2017, Serba Dinamik berjaya disenaraikan di bursa saham and the rest is history.

Siapa sangka setelah menempuh pelbagai dugaan dan cabaran membangunkan syarikat itu selama 27 tahun, hari ini, selain Qatar, syarikat yang banyak dianugerahkan kontrak minyak dan gas, utiliti, pembinaan dan IT tersebut berjaya mengembangkan operasinya hingga ke Indonesia, UAE, Bahrain, Singapura, India dan United Kingdom.

Menariknya, tak ramai daripada kita yang mengenali Abd. Karim ini. Beliau cukup ‘low profile’, tidak suka memaparkan kemewahannya pada masyarakat dan tidak suka menujuk-nujuk aset yang dimilikinya walaupun jutawan bertaraf bilionair ini kini tersenarai antara 50 individu terkaya di Malaysia!

Pun begitu, apa yang saya salute dengan Abd. Karim, beliau tidak akan keberatan untuk berkongsi ilmu sekiranya dipanggil atau dijemput untuk berceramah atau bercakap mengenai rahsia kejayaannya menjadikan Serba Dinamik dari ‘zero to hero’.

Mana mungkin saya lupa dalam salah satu ucapannya, Abd. Karim mendedahkan betapa beliau sangat telus dalam mengisytiharkan keuntungan syarikatnya walaupun menyedari syarikatnya bakal dikenakan cukai yang tinggi daripada kerajaan.

“Selalu terjadi seseorang usahawan atau peniaga itu tidak mahu mengisytiharkan keuntungan syarikat mereka kerana nak elak daripada dikenakan cukai, tetapi saya selalu berpesan kepada pegawai saya yang kita sepatutnya berfikiran sebaliknya.

“Saya katakan pada mereka, apa salahnya kalau kita kena membayar cukai kepada kerajaan kerana negara juga perlukan sumber kewangan untuk membangunkan tanah air yang tercinta ini. “Bila kita telus dengan pencapaian kewangan kita, pelabur juga secara tidak langsung akan yakin dengan kita, institusi kewangan juga akan lebih tertarik untuk bekerjasama dengan kita.

“Jangan kita hanya risau duit kita pergi ke kerajaan melalui cukai itu, kena ingat juga, kalau kerajaan kita tak ada duit, tak stabil, macam mana kita semua nak berniaga? Bila kita sanggup menipu kata rugi sebab nak elak cukai, macam mana pihak bank nak yakin dengan kita?,” kata Abd. Karim, pergh!

Bagi saya, kejujuran Abd. Karim dan sikap patriotiknya pada negara terserlah melalui prinsip-prinsip yang beliau amalkan dalam mengendalikan syarikatnya sebab itu tidak hairan beliau dan Serba Dinamik semakin mendapat perhatian di kalangan penganalisis ekonomi dan pemain industri sejak akhir-akhir ini.

Ketika saya menulis entry ini, saya tiba-tiba terbaca satu artikel Abd. Karim baru saja membeli ‘fabrication yard’ atau limbungan pemfrabikatan seluas kira-kira 69 hektar daripada Petronas di Teluk Ramunia, Johor dengan harga RM320 juta, g1la!

Saya tulis cerita mengenai Abd. Karim (kini dah bergelar Datuk) bukan kerana dibayar atau dapat apa-apa kontrak daripada Serba Dinamik, tetapi sebagai seorang wartawan dan penulis, saya merasakan saya bertanggungjawab mengangkat kisahnya kerana banyak yang boleh kita belajar daripada kejujuran, semangat dan ketabahan anak bumi kenyalang ini.

Salute!

Kredit; Syahril A. Kadir

0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments