PROGRAM Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) kelolaan SME Corp Malaysia (SME Corp) menjadi platform utama dalam melahirkan usahawan belia di negara ini apabila melatih 5,346 belia menceburi bidang perniagaan sejak 2014.

Seramai 4,952 usahawan belia juga sudah mendaftarkan perniagaan dengan nilai jualan terkumpul hingga Ogos 2020 bernilai RM127.1 juta.

Selain itu, program itu berjaya mewujudkan 10,540 peluang pekerjaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, buat julung kalinya tahun ini, program TUBE dilaksanakan secara dalam talian dan menyasarkan 1,000 belia Bumiputera termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, sejak diperkenalkan pada 2014, Program TUBE dikenal pasti sebagai salah satu program keusahawanan bagi membantu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia.

“Tahun lalu, hanya 579 belia dilatih berbanding 1,000 belia pada 2020.

“Malah, ada peningkatan peserta TUBE bagi negeri Sarawak yang dilatih tahun ini.

“Untuk negeri Sarawak, hingga kini, sebanyak 474 usahawan belia dilatih dan perniagaan yang dijalankan berjaya mewujudkan 924 peluang pekerjaan serta RM8.7 juta nilai jualan terkumpul,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau hadir merasmikan majlis Penutup Program TUBE 7.0 secara maya di D’Virtual Park Serba Dinamik, Kota Samarahan, kelmarin.

Tidak seperti tahun sebelumnya, selain daripada latihan secara dalam talian, tempoh latihan program TUBE kali ini juga dipendekkan kepada tujuh hari dengan modul latihan yang mudah difahami jelas dan boleh terus dipraktikkan selepas peserta menamatkan latihan.

Dalam perkembangan sama, pencapaian program TUBE serta modul latihannya yang bersifat inklusif untuk semua peringkat golongan ini mendorong satu kerjasama baharu antara SME Corp dengan Bank Islam bagi melaksanakan Program Pembiayaan Mikro iTEKAD tahun ini.

Program terbabit yang mengguna pakai konsep dan modul Program TUBE membolehkan usahawan di bawah bimbingan Bank Islam mendapat latihan peningkatan keusahawanan bagi memastikan mereka mendapat pemahaman, kemahiran dan pengetahuan holistik dalam pengurusan perniagaan.

[Source: “Wujud 10,540 peluang kerja” published by MyMetro]
0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments