KUCHING: Mempertahankan seni budaya masyarakat etnik adalah antara sebab Sarawak menuntut hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Menteri  Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perjuangan itu perlu diteruskan agar warisan budaya dan adat resam  negeri ini dapat terus dipelihara.

Justeru, katanya, adalah diharapkan lebih ramai golongan belia melibatkan diri dalam apa jua program kebudayaan seperti yang dianjurkan oleh Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).

“Penyertaan belia penting dalam usaha berterusan membantu kerajaan memelihara  kepelbagaian budaya dan warisan Sarawak.

“Misalan, masyarakat Melayu sebagai salah satu etnik di Sarawak perlu memastikan budayanya dipromosikan kepada masyarakat umum seperti  tarian, muzik, bahasa, pakaian, silat dan sebagainya agar tidak lupus dek zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Samarindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak Siri I: Gendang Melayu Sarawak di Godown Amphitheatre, Tebingan Kuching di sini, malam Sabtu.

Sharifah Hasidah menambah, perjuangan untuk memelihara warisan budaya pada hari ini semakin mencabar dengan adanya media sosial, internet dan hiburan moden dari negara Barat.

“Ini semua merupakan cabaran untuk kita melindungi budaya Melayu Sarawak termasuk budaya pelbagai etnik lain yang terdapat di negeri ini dan oleh sebab itu, semua perlu bersatu-padu mempertahankannya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Sharifah Hasidah melahirkan keyakinan AKYBMS akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan budaya Melayu Sarawak.

“Tahniah kepada Datu Dr Sanib Said selaku Pengurus Besar AKYBMS kerana menganjurkan program persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak di sini, sebagai usaha  mempromosikan budaya kita kepada pelancong dalam dan luar negeri,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 300 pengunjung hadir memeriahkan program  itu yang menampilkan  
 persembahan daripada Kumpulan Gendang Sri Kenyalang III,Gendang Sri Buana I dan Gendang Sri Buana II (Belia).

Program itu diadakan dalam empat siri sepanjang tahun dengan yang pertama (22 Februari) memfokuskan pada Gendang Melayu Sarawak diikuti siri kedua untuk acara Puisi pada 28 Julai, Pencak Silat (26 September) dan Tandak (14 November).

Hadir sama Dr Sanib dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak, Abdul Wahab Hamzah.

[Source: “Seni budaya etnik di Sarawak perlu dipertahankan” published by UtusanBorneo]
0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments