KUCHING, 5 JULAI 2020 (SNN) – YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri telah menyampaikan surat pelantikan kepada Datu Dr. Sanib bin Hj. Said sebagai Ahli Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia petang tadi.  Nancy merupakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang bertanggungjawab kepada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan termasuk Arkib Negara Malaysia yang mempunyai cawangan di negeri Sarawak.

Nancy berkata dengan kelayakan dan pengalaman yang luas, Sanib akan mampu memberikan sumbangan kepada kemajuan Arkib Negara Malaysia di peringkat kebangsaan.

Sanib Said (67) merupakan salah seorang sejarawan yang terkenal di Sarawak dan Malaysia.  Sebagai seorang sejarawan beliau banyak menggunakan perkhidmatan arkib bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.  Penyelidikan yang dilakukan beliau telah menghasilkan tesis dan buku tentang sejarah Sarawak.  Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Sanib pernah berkhidmat sebagai Pegawai Arkib dan sempat mengikuti kursus Post-Diploma in Information Management and Archives Administration di University of New South Wales, Australia pada tahun 1982. Beliau merupakan mantan Ketua Jabatan Sejarah, Universiti Brunei Darussalam; Pengarah, Jabatan Muzium Sarawak dan Pengarah, Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak.

Arkib Negara Malaysia telah ditubuhkan dengan Akta Arkib Negara 1966.  Fungsi Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia ialah “1. Menasihati Ketua Pengarah tentang apa-apa perkara yang dirujuk kepada Lembaga Penasihat dari masa ke semasa. 2. Menasihati Ketua Pengarah tentang apa-apa perkara yang difikirkan patut oleh Lembaga Penasihat.”

Nancy sempat berbincang dengan Sanib tentang peranan kebudayaan dan seni dalam industri pelancongan. Sehubungan itu, Sanib yang merupakan Pengurus Besar, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, memaklumkan tentang kegiatan badan tersebut. Antaranya ialah penyelidikan sejarah dan warisan kebudayaan Negeri Santubong yang hampir selesai untuk diterbitkan sebagai sebuah buku.

[Source: “Nancy melantik Sanib sebagai Ahli Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia” published by Sarawak News Network]
0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments