KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (gambar) menggesa semua pihak dari pelbagai industri membantu kerajaan negeri dalam menjadi kuasa besar ekonomi digital. 

Jelas Awang Tengah, pada Mei lepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) bagi memulihkan ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19 menerusi ekonomi digital. 

Justeru katanya, kerajaan negeri memerlukan kolaborasi semua sektor sama ada sektor swasta, institusi pengajian tinggi, dewan perniagaan, institusi kewangan dan pakar-pakar dari semua bidang. 

“SEAC akan fokus kepada pembuatan dan pembangunan usahawan, pelombongan,perhutanan, pelancongan, pendidikan dan pembangunan modal insan, tenaga diperbaharui, pusat data dan perkhidmatan inovasi, infrastruktur serta pertanian komersial. 

“Atas sebab itu kita memerlukan kolaborasi semua pihak yang relevan untuk melakar pelan pembangunan kita,” katanya pada rancangan bicara Agenda Awani pada malam Ahad. 

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menambah ramai rakyat negeri ini kini menyedari kepentingan ekonomi digital selepas melalui pandemik COVID-19. 

Atas sebab itu katanya, ia adalah penting untuk perniagaan di negeri ini termasuk masyarakatnya untuk mengguna pakai teknologi digital yang ada pada hari ini. 

“Ini bukan sahaja untuk memulihkan ekonomi selepas COVID-19 tetapi juga untuk ekonomi negeri terus berdaya saing dan kekal relevan dalam landskap perniagaan global hari ini. 

“Kita berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana memperkenalkan inisiatif ekonomi digital tiga tahun lalu,” tambahnya. 

Ujar Awang Tengah lagi, kegunaan ekonomi digital telah dibuktikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimana ramai individu menggunakan teknologi digital dalam kehidupan harian termasuk perniagaan. 

Justeru katanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus mengadaptasi teknologi semasa ini untuk mereka kekal berdaya saing dan relevan dalam landskap perniagaan hari ini. 

0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments