SAMARAHAN : Usaha Kerajaan Sarawak dalam membangunkan sistem pengangkutan yang lebih moden seperti pembangunan “Autonomous Rapid Transit” (ART) akan menjadikan bahagian ini ala-ala negara Jepun.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg berkata, ART yang akan dibina di Samarahan merupakan sebuah teknologi yang hanya diguna pakai oleh dua buah negara maju iaitu China dan Jepun serta berharap sistem pengangkutan ini akan mengurangkan kesesakan jalan raya di Kota Samarahan khususnya pada waktu puncak.

“Ini merupakan teknologi yang baharu yang kita akan bina di Samarahan yang telah diguna pakai oleh negara China dan juga Jepun. Oleh itu, Samarahan akan menjadi seperti Jepun juga.

“Pihak pembangkang tidak tahu mengenai teknologi ini dan bertanya kepada saya apa itu ART kerana mereka agak ‘outdated’. Saya sudah menghantar Menteri Pengangkutan kita ke sana untuk melihat teknologi ini.

“Kalau Jepun ada, orang Samarahan pun ada juga macam Jepun,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun Ketiga Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) disini, malam Isnin.

Ketua Menteri juga sangat yakin bahawa pengangkutan ini akan dibina kelak, sekaligus mengubah landskap pemandangan “Bandar Ilmu” itu kearah lebih maju dan moden.

Dalam perkembangan lain Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu bahawa kerajaan Sarawak kini sedang giat melaksanakan lampu isyarat digital untuk kawasan Samarahan selain turut melaksanakan projek menambah dan membangunkan bulatan.

“Sebelum ini saya sudah meluluskan peruntukan bagi membina lampu isyarat untuk Samarahan ke Kuching yang digital dan ia sedang dilaksanakan. Dan seterusnya kita akan menambah dan bangunkan bulatan dan ia juga sedang dilaksanakan,” ujarnya.

Leave a Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of