KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memastikan kontraktor Bumiputera diberi keutamaan untuk pelaksanaan projek infrastruktur yang dijangka diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beberapa projek infrastruktur tertentu dalam rancangan itu yang mana sebahagiannya boleh diagihkan kepada kontraktor Bumiputera tempatan bagi mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan mereka.

“Saya telah mengarahkan pejabat setiausaha kewangan negeri untuk menggunakan prinsip yang baru supaya Bumiputera mendapat kerja daripada projek-projek yang kita laksanakan di negeri ini.

“Maknanya, kontraktor Bumiputera akan dapat mengambil bahagian dalam banyak projek infrastruktur dalam RMK12 termasuk projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), selagi mereka terus meningkatkan keupayaan sendiri melalui program latihan teknikal dan pengurusan,” jelasnya pada majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2019 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam Ahad.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan; Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais; dan Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Datu Abang Helmi Tan Sri Ikhwan serta tetamu kehormat lain.

Sementara itu, Abang Johari mengulangi empat teras utama yang akan menjadi fokus dalam RMK12 Sarawak iaitu pembangunan pertanian moden, pelancongan dan perkhidmatan; infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan jambatan; serta pendidikan dan latihan.

Untuk pembangunan pertanian moden katanya, tanah di bawah pemilikan masyarakat Bumiputera dapat dibangunkan secara kelompok melalui Seksyen 6A Kanun Tanah Sarawak,dalam sektor pertanian menerusi pertanian pintar.

“Pada masa sama, kita boleh membangunkan taman agro sama seperti taman perindustrian di mana setiap Bumiputera akan diberikan lot tanah  tertentu yang dilengkapi dengan teknologi dan infrastruktur asas bagi mereka membangunkan pertanian di kawasan tersebut.

“Malah, kita juga menyediakan ‘seed capital’ kepada mereka yang berkecimpung dalam sektor pertanian ini dan dana itu akan dikeluarkan secara berperingkat mengikut pembangunan yang ada dalam projek pertanian tersebut

Bagi sektor pelancongan dan perkhidmatan, Abang Johari memberitahu kerajaan turut memberi tumpuan terhadap pelancongan kesihatan apatah lagi beberapa hospital di bandar raya ini mengalami perkembangan ekoran pelanggan (pelancong) dari luar negara yang bertambah.

“Sebuah hospital pakar dalam rawatan kanser yang akan dilaksanakan oleh pihak swasta juga akan dibina di kawasan Tabuan tidak lama lagi. 

“Semua perkembangan ini mencerminkan terdapat permintaan besar dalam sektor pelancongan perubatan negeri, hanya terpulang kepada kita untuk merangka strategi dalam industri pelancongan yang melibatkan banyak profesion lain,” jelasnya.

Beliau  yakin dengan penekanan terhadap empat sektor utama itu, Sarawak mampu mencapai matlamat muncul sebagai negeri maju menjelang 2030,” ujarmya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu Kerajaan Negeri giat mengadakan kerjasama dan peluang usaha sama untuk mengeksport bekalan elektrik ke Brunei dan menubuhkan Borneo Grid melalui Sarawak Energy Berhad.

Pada majlis itu, seramai 12 usahawan menerima anugerah dalam sembilan kategori dipertandingkan dan Anugerah Usahawan Bumiputera Cemerlang diberikan kepada  Dato’ Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah dari syarikat Serba Dinamik Holding Berhad.

[Sumber: Utusan Borneo]

Leave a Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of