KUCHING: Kolaboratif sektor awam dan swasta sangat penting dalam menganjak sektor pertanian kepada sektor berorientasikan eksport.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, atas sebab itu beliau meneruskan idea mempunyai syarikat utama sebagai modul baharu dalam hala tuju pertanian negeri.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian pada mesyuarat dan makan tengah hari bersama pengurusan kanan lapan syarikat di sini, semalam.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datu Ik Pahon Joyik dan Pengarah Jabatan Pertanian Dr Alvin Chai serta para pegawai kanan yang lain.

Menurut Uggah, syarikat terutama yang telah kukuh mempunyai banyak kelebihan, antaranya loji pemprosesan yang diiktiraf antarabangsa bagi standard kualiti selain pasaran yang sangat penting.

“Kita kini berdepan dengan persaingan sengit daripada negara-negara seperti Vietnam, Thailand, Indonesia dan lain-lain.

“Jadi, fokus kita haruslah pada standard kualiti,” katanya sambil menambah, peranan kerajaan pada asasnya adalah untuk membantu dan bukannya menjalankan perniagaan.

Tambah Uggah lagi, kerajaan akan campur tangan dan berurusan dengan sebarang masalah yang mungkin timbul di sepanjang keseluruhan rantaian bekalan.

Kerajaan katanya, mesti praktikal dan boleh berkolaboratif untuk kepentingan bersama.

“Setakat ini kerajaan negeri amat gembira dengan peranan yang dimainkan oleh syarikat-syarikat utama.

“Terdapat beberapa syarikat tempatan yang dapat menjadi syarikat utama dan masa depan negeri sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030 adalah bergantung kepada mereka,” katanya.

Jelas Uggah lagi, Sarawak mesti memiliki jumlah pengeluaran yang tinggi, justeru sebagai tambahan kepada syarikat utama, Sarawak mewujudkan taman pertanian di seluruh negeri.

Selain itu katanya, kerajaan Sarawak juga menubuhkan dana peneraju sebagai kaedah tambahan untuk membantu usahawan agro dengan potensi untuk bertumbuh besar.

Sejumlah RM200 juta diperuntukkan bagi dana ini sebagai modal kepada usahawan yang mana kini dibuka untuk bidaan.

[Source: “Kolaboratif sektor awam, swasta anjak sektor pertanian” published by Utusan Borneo]

Photo Credits: Utusan Borneo

0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments