SABTU, 8 DISEMBER 2018 @ 2:38 PM

KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan melaksanakan penggunaan tulisan jawi di premis perniagaan dan papan tanda dalam kawasan pentadbirannya, mulai tahun depan.

Yang Dipertua MPK, Datuk Fadzilla Salleh, berkata pelaksanaan itu selaras titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang ingin melihat penggunaan tulisan jawi secara menyeluruh di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik sebagai usaha memartabatkan tulisan berkenaan di daerah ini yang dilihat semakin dipinggir dan dilupakan masyarakat.

“Tahun depan, kita akan memastikan semua pemilik premis perniagaan menggunakan tulisan jawi di premis masing-masing.

“Dalam masa terdekat ini, sebagai permulaan, MPK akan menggunakan tulisan jawi membabitkan papan tanda Jalan Tengku Mahkota menghala ke Istana Abdulaziz,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ‘Pledge & Plant A Tree Programme 2018’ bersama Pertubuhan Perancangan Malaysia di Laman Tepian Kuantan, di sini, hari ini.

Sementara itu mengenai program berkenaan pula, Fadzilla berkata, sebanyak 72 pokok jenis palma, cempaka, golden chain dan tanjung ditanam bagi mengindahkan lokasi terbabit yang menjadi antara produk pelancongan di daerah ini.

Beliau berkata, penjagaan dan penyelenggaraan pokok juga perlu dilakukan dengan sempurna bagi memastikan ia dapat membesar, sekali gus hidup lebih lama serta menarik.

“Kita akan memastikan penyelenggaraan pokok mengikut jadual dan sistematik, terutama membabitkan aktiviti membaja setiap bulan, supaya ia lebih cepat membesar.

“Laman Tepian Kuantan sempena nama masjid Tepian Kuantan, diwujudkan di atas tanah seluas 0.17 hektar sebagai taman rekreasi baharu untuk kemudahan orang ramai,” katanya.

[Source: “MPK Laksanakan Penggunaan Tulisan Jawi Tahun Hadapan” published by Berita Harian Online]

Photo Credits: Berita Harian Online

Leave a Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of